22 Julai 2012

KEMBALINYA KE RAHMATULLAH - EN MOHD BIN ABDULLAH

MAKLUMAN...MOHD BIN ABDULLAH (RIPIN JAH) AJK JKKK KAMPUNG BUKIT WAN TELAH KEMBALI KE RAHMATULLAH PADA JAM 4.00 PAGI TADI (22 JULAI 2012) DI HOSPITAL KUALA TERENGGANU KERANA MASALAH KESIHATAN. SEMOGA ROH BELIAU DICUCURI RAHMAT....AL FATIHAH

21 Julai 2012

SELAMAT BERPUASA DARI JKKK BUKIT WAN

PROGRAM SAYANG D' SAYANG

Pada 19 Julai 2012 telah berlangsung satu program iaitu "Program Sayang D' Sayang" khas untuk seluruh penduduk kampung. Majlis ini telah berlangsung di Bangunan KRT Kampung Bukit Wan dan ianya bermula jam 9.00 malam. Namun sebelum itu telah diadakan satu majlis solat hajat di masjid. Program ini diadakan dengan kerjasama JKKK dan KRT Bukit Wan. Majlis ini diadakan adalah bagi memberi penghargaan dan anugerah kepada penduduk kampung yang banyak memberi sumbangan kepada kemajuan dan keceriaan kampung. Antara anugerah yang diadakan ialah Anugerah Belia Dan Sukan, Anugerah Tokoh Pendidikan, Anugerah Jasa Mu Di Kenang, Tokoh Sepanjang Zaman dan Anugerah Kepimpinan. Majlis ini telah dihadiri oleh Tuan Penghulu Kanan Pejabat Daerah Kuala Terengganu iaitu Tn Hj Wan Ismail bin Wan Muda serta turut hadir bekas Pengulu Mukim iaitu En Zamari bin Abu Zih. Majlis ini bermula dengan satu tayangan video tentang kejayaan Kampung Bukit Wan yang baru baru ini telah dinobatkan sebagai Johan dalam Pertandingan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) peringkat Negeri Terengganu 2012. Dengan kemenangan ini Kampung Bukit Wan akan mewakili negeri Terengganu keperingkat kebangsaan yang akan diadili pada bulan September nanti. Kehadiran penduduk kampung semestinya amat menggalakan dan ia sentiasa bersedia untuk  berkhidmat demi kemajuan kampung. Dalam ucapan yang disampaikan oleh Pengerusi JKKK, beliau menyeru kepada seluruh kampung agar terus memberi komitmen dan kerjasama dalam memajukan kampung khasnya bagi menghadapi Pertandingan Anugerah Desa Cemerlang Peringkat Kebangsaan. Beliau berharap agar seluruh penduduk kampung terus keluar beramai ramai bergotong royong yang telah menjadi satu tradisi masyarakat kampung selama ini. Diakhir majlis tersebut satu jamuan makan malam telah disediakan oleh pihak JKKK dan KRT kepada seluruh penduduk kampung. 
Poster majlis
Antara sebahagian penduduk yang hadir..
Pengerusi JKKK sedang menyampaikan ucapan.
Hamper untuk rumah didalam kampung.





07 Julai 2012

KAMPUNG BUKIT WAN JOHAN ANUGERAH DESA CEMERLANG (ADC) PERINGKAT NEGERI TERENGGANU 2012

Pada 7 Julai 2012, bertempat di Dewan Besar Wisma Darul Iman Kuala Terengganu, Kampung Bukit Wan telah dinobatkan sebagai Johan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) Peringkat Negeri Terengganu 2012 selepas menewaskan enam buah kampung lain. Ternyata semangat bekerjasama dan bermuafakat di kalangan penduduk kampung adalah kunci kejayaan Kampung Bukit Wan memenangi anugerah ini. Segala penat lelah dan pengorbanan selama ini telah berhasil dan ia merupakan satu kejayaan yang tidak pernah sebelum ini dan mungkin tidak terfikir oleh generasi dahulu tentang kejayaan ini. Kejayaan ini adalah kejayaan seluruh penduduk kampung kerana merekalah yang sentiasa berusaha mencari sesuatu yang terbaik buat kampung halaman.
Kemenangan ini diraih setelah Kampung Bukit wan telah mencapai tujuh aspek yang dinilai, iaitu kepimpinan, pendidikan, ekonomi, kerohanian dan sivik, kesihatan dan kebersihan serta keceriaan dan teknologi maklumat (IT). Selain dari mendapat Johan peringkat negeri, Kampung Bukit Wan juga turut memenangi hadiah sampingan iaitu dari aspek kepimpinan, aspek ekonomi dan aspek keceriaan kampung. Dengan kemenangan ini Kampung Bukit wan telah dihadiahkan wang tunai Rm 10,000 dan Rm 500 untuk setiap hadiah sampingan. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Datuk Abd Rahim bin Mohd Said (Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri) bagi mewakili YAB Dato Seri Haji Ahmad bin Said Menteri Besar Terengganu.Dengan kemenangan ini Kampung Bukit Wan akan mewakili Negeri Terengganu dalam Pertandingan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan akan pada bulan September 2012 ini. Pihak Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah mula mengatur rancangan dan strategi bagi memperkemaskan segala aspek aspek yang akan diadili termasuk profail kampung yang terkini dan padat. Kesungguhan penduduk kampung dan barisan kepimpinan JKKK amat dirasai dan tidak mustahil kejayaan diperingkat kebangsaan nanti akan menjadi milik Kampung Bukit Wan. Yang pasti "Kampung Kita Tanggungjawab Kita”.