Mesyuarat KRT telah di adakan pada 10 Februari 2009 di bangunan KRT yang baru lalu. Mesyuarat bermula pada jam 9.00 malam yang turut di hadiri oleh Pegawai Perpaduan Dearah Kuala Terengganu. Kehadiran ahli amat memuaskan dan ini telah mengcerminkan semangat kerjasama dalam satu pasukan di kampung Bukit Wan terus utuh dan keadaan ini perlu dipertahankan. Dalam mesyuarat ini banyak hal telah diperbincangkan dan dibangkitkan. Antara agenda penting yang dibincangkan ialah soal keselamatan di dalam kampung di waktu siang mahu pun malam. Unit kawalan kampung akan dikemaskinikan lagi agar lebih mantap sesuai dengan keadaan semasa. Rondaan akan diperketetkan lagi serta bilangan anggota akan ditambahkan yang terdiri dari golongan belia yang berminat. Tujuan utama rondaan adalah untuk mencegah dari berlakunya kejadian pecah rumah, penyalahgunaan dadah, sumbangmahram dan sebagainya.
Mesyuarat juga telah memperbincangkan dengan panjang lebar tentang kebersihan di dalam kampung. Ketua ketua zon haruslah memainkan peranan yang penting untuk menggerakan ahlinya bagi memastikan setiap zon terus menjaga kebersihan masing masing. Dalam pada itu satu gotong royong perdana akan di adakan tidak lama lagi. Program gotong royong ini akan melibatkan semua golongan, khasnya golongan belia agar pada masa yang sama ia dapat mengeratkan lagi hubungan siraturahim sesama sendiri. Selain dari itu agar suasana kampung terus bersih dan bebas dari gejala denggi dan lain lain penyakit yang berjangkit. Selain dari itu juga mesyuarat pada malam itu telah memutuskan untuk mengadakan satu pertandingan memancing. Tarikh dan dimana dilangsungkan akan diberitahu kemudian.
Mungkin ramai dari kita tidak faham apa itu KRT? KRT adalah Skim Rukun Tetangga diperkenalkan pada tahun 1975 sebagai satu langkah membolehkan rakyat sendiri mengawal dan menjaga keselamatan kawasan kediaman mereka. Skim ini kemudiannya diperbaharui dengan menekankan konsep kejiranan dengan falsafah bahawa kesejahteraan kawasan sejiran akan menjamin kesejahteraan negara. Pada masa kini peranan Skim Rukun Tetangga di perluaskan lagi dengan pendekatan pembangunan komuniti bagi memastikan perpaduan dan keharmonian hubungan di dalam masyarakat akan terus berkekalan dan berterusan.
Jawatankuasa Rukun Tetangga ini telah menganjurkan berbagai aktiviti di dalam komuniti setempat. Aktiviti ini bertujuan untuk membolehkan penduduk setempat berkenalan, bantu-membantu dalam menghadapi masalah bersama, berinteraksi dan merapatkan hubungan diperingkat akar umbi di antara pemimpin dengan rakyat dan di antara rakyat pelbagai keturunan, adat dan budaya.