Dengan struktur tanahnya yang berbukit dan subur, ia menjadi tumpuan untuk dijadikan kawasan dusun buah-buahan oleh penduduk sekitar dan dengan perubahan masa, penempatan penduduk mengambil alih sebahagian daripada kawasan itu.
Bukit Wan masih lagi dikenali sebagai salah satu kawasan pertanian dalam mukim Batu Rakit, begitu juga suasana kehidupan penduduknya yang sepakat dan harmoni yang menjadi kelebihannya.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Wan, Chek Harun Ismail (gambar), kampungnya mempunyai hampir 600 orang penduduk dengan 110 buah rumah.
Katanya, bagi memudahkan seliaan dan pengurusan, kampung itu dibahagikan kepada empat zon dengan setiap zon berusaha membentuk sebuah komuniti kampung yang lengkap.
Melalui kesepakatan penduduk, ia ditunjukkan menerusi perusahaan kecil berasaskan keupayaan mereka termasuk pembuatan ragi dan juadah ubi gadong, ternakan di samping aktiviti kebudayaan yang diwarisi, memeriahkan suasana.
‘‘Persaingan ke arah penyediaan lebih banyak kemudahan, keselesaan buat penduduk, membawa banyak kebaikan buat semua termasuk dengan keadaan kampung yang bersih dan ceria.
‘‘Penduduk turut sama mengindahkan laman dan kediaman sendiri serta sekitar kampung,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kampungnya, baru-baru ini.
Sikap yang mereka tunjukkan itu dihargai apabila kampung itu menjuarai Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung peringkat negeri 2010 Kategori Kampung Luar Kawasan Operasi baru-baru ini.
Kemenangan tersebut membolehkan JKKK itu menerima RM100,000 bagi menjalankan projek dan wang tunai RM10,000 di samping bakal berpeluang melawat Australia tahun depan.
Kemenangan itu suatu yang besar maknanya bagi JKKK Bukit Wan dalam menggerakkan kegiatan bersifat sukarela tanpa mengira masa dan disahut oleh penduduk.
Sebelum ini, Kampung Bukit Wan turut memperoleh tempat ketiga bagi Anugerah Desa Cemerlang peringkat negeri 2009 dan tempat ketiga Anugerah Kebersihan dan Pengurusan Kubur Daerah Kuala Terengganu 2010.
‘‘Di sini juga wujudnya taman herba yang mempunyai lebih 90 spesies, taman rekreasi air terjun Bukit Wan dan dusun buah-buahan yang merangsang aktiviti agro pelancongan.
“Ia diusahakan sendiri oleh penduduk kampung dengan bantuan beberapa agensi kerajaan serta perhatian wakil rakyat di sini,” katanya.
Kampung itu turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam seperti Sekolah Kebangsaan Bukit Wan, klinik desa, pusat asuhan kanak-kanak, sekolah pondok al-Madini dan masjid.
Dengan bentuk muka bumi yang sesuai untuk aktiviti pertanian dan mempunyai kawasan tanah yang luas, sektor pertanian seperti tanaman kelapa sawit dan ternakan ayam merupakan antara pekerjaan utama penduduk kampung.
Bagaimanapun menurut Chek Harun, perkembangan semasa dan tahap pendidikan anak kampung yang semakin bertambah baik, maka keadaan statistik pekerjaan penduduk kampung juga turut berubah.
“Sudah ramai penduduk kampung dari generasi baru telah berkecimpung dalam sektor kerajaan dan swasta serta dalam bidang perniagaan,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan