11 Februari 2012

MAJLIS KEBERANGKATAN DYMM TUANKU SULTAN DAN SULTANAH TERENGGANU KE KAMPUNG BUKIT WAN

Pada tanggal 10 Februari 2012 (Jumaat) jam 4.45 petang, satu lagi catatan sejarah telah terpahat di Kampung Bukit Wan apabila KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu (Tuanku Mizan) dan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu (Tuanku Nur Zahirah) telah mencemar duli ke Kampung Bukit Wan bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Permainan Sukan Rakyat. Ketibaan Tuanku berdua telah disambut oleh Yang Berhormat Dato Hj Mazlan bin Ngah (S/Usaha Kerajaan Terengganu), Pegawai Daerah Kuala Terengganu (Tn Hj Wan Nawawi Wan Ismail) dan Yang Berhormat Tn Hj Ustaz Khazan Che Mat (Adun Batu Rakit) sambil diiringi oleh YAB Dato Seri Hj Ahmad Said (MB Terengganu),Yang Amat Mulia Tengku Sri Temenggong Raja, Yang Berhormat Mulia Dato Syed Omar bin Abd Kadir dan Yang Berhormat Dato Bentara Luar. Sebelum sampai ke tapak perasmian, rombongan Diraja ini telah disambut oleh ratusan pelajar pelajar TBK disepanjang jalan dari simpang masuk ke Jalan Masjid. Hampir seluruh penduduk kampung Bukit Wan dan penduduk kampung sekitarnya telah keluar beramai ramai bagi melihat dari dekat wajah Raja dan Permaisuri Terengganu. Pada majlis ini Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah telah dipertontonkan permainan permainan tradiosinal iaitu Petik Mata, Tarik Upih, Porok dan Gasing dan ia dimainkan oleh penduduk Kampung Bukit Wan sendiri. Disamping permainan ini, pada sebelah pagi telah berlangsung beberapa acara sukan rakyat seperti terompah gergasi, kaki hantu, rakit darat, dan bermacam lagi acara sukan yang melibatkan seluruh kampung dalam Dun Batu Rakit. Pada majlis hadiah, Pengerusi JKKK Kampung Bukit Wan (Tn Hj Chek Harun Ismail) telah diberi penghormatan untuk menerima piala dari DYMM Tuanku Mizan. Dan setelah itu satu majlis penyerahan buah tangan dari penduduk penduduk Kampung Bukit Wan kepada DYMM Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah dengan cara zaman silam iaitu dengan memikul "Lenja" dengan muatan buah buahan dan menjunjung "Pa" yang berisi kuih kuih tradiosinal. Suasana ini telah menimbulkan satu nostagia kenangan masa silam. Pada jam 5.30 petang , Tuanku Sultan dan Sultanah dan ahli rombongan telah  berangkat balik meninggalkan majlis. Sesungguhnya kedatangan Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah Terengganu ke Kampung Bukit Wan telah meninggalkan banyak kenangan dan ia akan menjadi satu lipatan sejarah yang pastinya tidak akan dilupakan sampai bila bila. Kami seluruh penduduk Kampung Bukit Wan dan penduduk sekitarnya amat teruja dan berbesar hati dengan keberangkatan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah.
DAULAT TUANKU
Ketibaan Tuanku Mizan disambut oleh Dato SUK (Mazlan Ngah)
Pegawai Daerah Kuala Terengganu (Tn Hj Wan Nawawi Wan Ismail)
dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit (Ustaz Hj Khazan Che Mat)
Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah diringi ke pentas utama
Tuanku Mizan berkenan bersalam salaman bersama
peserta peserta sukan rakyat.
Dipentas Diraja...
YB Ustaz Khazan (Adun Batu Rakit) sedang bersalaman
dengan Dato Mazlan Ngah (Dato SUK Terengganu)
Tuanku Mizan bergitu tertarik dengan alat pengangkutan
lama "Lenja" untuk  membawa buah buahan.

Pengerusi JKKK Bukit Wan (Tn Hj Chek Harun Ismail)
sedang merapat sembah untuk menerima piala
pertandingan dari DYMM Tuanku Mizan.
Sebelum berangkat balik..Tuanku Mizan dan Tuanku
Nur Zahirah sempat bersalam salaman dengan penduduk kampung.

Tiada ulasan: