26 April 2011

JUADAH ISTIMEWA UNTUK PERDANA MENTERI DARI KAMPUNG BUKIT WAN

Pelbagai jenis kuih tradisional berasaskan ubi gadong akan menjadi ‘juadah istimewa’ sebagai hidangan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isteri Datin Sri Rosmah Mansor sempena lawatan sehari pemimpin nombor satu negara itu ke Terengganu Sabtu ini. Tanaman yang kian terpinggir itu mula diuar-uarkan dua tahun lalu oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, malah beliau pernah mencetuskan idea untuk menjadikannya sebagai makanan rasmi dalam majlis kerajaan negeri. Ibu Gadong
Kesukaran memperolehi ubi gadong serta teknik pemprosesan yang mengambil masa lama sebelum dapat menghasilkan pelbagai menu kuih-muih antara faktor makanan berasaskan ubi gadong sukar ditemui masyarakat umum dan terbatas sekali. Hakikatnya, bagi mendapatkan bahan mentah atau pokok berkenaan tidaklah begitu sukar kerana ia lazimnya tumbuh melata sama ada di kebun buah-buahan atau di belakang rumah di sesetengah kampung, terutama di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit. Malah, pokok itu tidak perlu ditanam sebagaimana spesies ubi yang lain seperti ubi kayu dan keledek. Bagi Hajah Faridah Abdul Ghani, 52 dari Kampung Bukit Wan, begitu bangga dan terharu kerana diberi tanggung jawab menyiapkan juadah istimewa berkenaan kepada pemimpin nombor satu negara. Katanya, walaupun proses menghasilkan kuih-muih boleh mengambil masa sehingga seminggu yang dimulai dengan kerja mengali, mengupas kulit dan menghiris nipis, diikuti merendamnya dalam bekas khas bercampur asam keping dan garam (dua malam) sebelum memindahkannya ke proses rendaman kedua dengan air yang mengalir selama dua hari dua malam serta perlu membilasnya dua kali sehari. “Setelah melalui semua proses ini barulah ubi gadong ini selamat dimakan dan boleh menghasilkan pelbagai jenis kuih tradisional seperti puteri mandi, onde-onde, lok lik dan sebagainya,” kata Hajah Faridah. Menurutnya, jika proses menghasilkan makanan tidak dilakukan dengan bersih dan menggunakan kaedah yang betul, kesannya mungkin timbul kepada sesiapa yang memakannya, seperti pengalaman Menteri Besar yang pernah mabuk gadong ketika zaman persekolahan beliau dulu.

Tiada ulasan: